Sunday, December 15, 2013

Rindu Ibu

Ibu tetap bertakhta di hati…
Walau di mana sahaja kita berada, pasti kita akan merindui…
Meskipun kadangkala ibu membebel atau berleter, kita tahu bahawa ia untuk kebaikan kita di masa hadapan nanti…
Adapun si ibu memarahi, pasti sahaja ia kerana silap kita sendiri…
Sejak dalam kandungan lagi, ibu yang setia menemani diri…
Keluar sahaja ke dunia, pelukan ibu yang kita rasai…
Membesar pula kita, dengan si ibu yang sering di sisi…
Jadi mana mungkin kita dapat melupai…
Seorang insan yang telah banyak berkorban dan menabur budi…
Namun diri harus menyedari…
Satu hari nanti, si ibu ini bakal pergi…
Sudah cukup kuat dan bersediakah diri?
Takut untuk memikirkan, maka lebih memilih untuk mengelak daripada membicarakan topik ini…
Memandangkan jarak kini agak jauh dari si ibu sendiri…
Kegusaran makin merajai diri…
Tambahan pula menyedari bahawa lemahnya diri untuk menerima sebuah perpisahan yang bakal terjadi…
Menjadikan hari semakin sukar untuk dilalui… 
Namun harus sentiasa menguatkan diri...       
Restu dan nasihat dari ibu sahaja yang menemani…
Doa dari kejauhan pula yang dikirim diri…
Semoga dirimu dalam lindungan Illahi…
Buatmu ibu, dengarkanlah lagu ini.
Dari anakmu, yang merindui.

                             Link : http://www.youtube.com/watch?v=V7PocZ4OUAc

Laguku ini tentang rindu ibu...
Pada saat ibu tak di sisiku...
Berbagai macam rasa...
Kurindukan dia...

[13.12.13]~Perbaharui Azam

Sudah menjadi kebiasaan bagi manusia untuk mempunyai kesukaan pada sesuatu yang cantik.
Jika diperhatikan, tarikh ini juga cantik.
Tambahan pula jatuhnya pada penghulu segala hari, iaitu Jumaat, hari yang mulia.

Alangkah bagusnya kalau kita menggunakan peluang yang hadir ini untuk membuat azam yang baru.
Membuat azam yang baru tak semestinya perlu menunggu sehingga hadirnya tahun baru sahaja.
Melakukan azam pada bila-bila masa pun boleh sebenarnya.
Malahan kita digalakkan untuk memperbaharui azam setiap hari.

Sempena tarikh yang cantik ini, apakah azam diri?
Jadikanlah tarikh yang cantik ini sebagai satu turning point yang cantik juga dalam hidup kita.
Hijrahkanlah diri.
Sebaik mana pun kita rasakan tentang diri kita pada hari ini, berusahalah untuk meningkatkan lagi kualitinya.

Biarkanlah apa yang dilakukan itu kecil sahaja asalkan kekal berterusan dan sentiasa dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Mudah-mudahan apa yang diusahakan itu mendapat redha-Nya.

Teringat pada satu buku yang baru dibaca.
Dalam satu bahagian buku tersebut, ada tertulis:
“Everyone must strive to reach their goals 
because everyone is eased towards what he is created for”

‘True goals’ kat sini bermaksud untuk mengenal ALLAH, sehingga kelak dapat menambahkan rasa cinta dan takut terhadap-Nya.


Meskipun tarikh ini telah berlalu, masih belum terlambat untuk diri membuat azam baru dan berusaha ke arahnya.

Mudah-mudahan apa sahaja yang diusahakan dapat di'istiqamah'kan dan dipertingkat dari semasa ke semasa. 
Aamiin Yaa Rabb...

"Cinta Suci Zahrana"

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani…
Subhanallah…
Sahabat yang baik adalah sahabat yang dapat mengingatkan dan mendekatkan diri kita kepada Allah…
Benar, jodoh itu rahsia Allah…
Sungguh, bahagia itu milik Allah…
Apabila Allah berkehendakkan sesuatu untuk terjadi, pasti saja ia akan terjadi.
Biar cerita berbicara…
Tontonlah dengan hati yang terbuka dan jiwa yang bersedia.
Banyak nilai & pengajaran yang dapat dikutip daripada cerita ini…
Persahabatan, Kekeluargaan, Pendidikan, Jodoh & Takdir, Hubungan sesama makhluk terutama manusia, Keyakinan pada Allah & sebagainya…
Segalanya indah pada waktunya...


“Cinta Suci Zahrana"

Sekadar berkongsi cerita.
Moga bermanfaat buat semua.
Selamat menonton.

Aku dan Otomen


Otomen? Apakah itu? “Otomen” tu merujuk pada Ultraman sebenarnya…

Suatu masa dahulu ketika masih lagi bergelar kanak-kanak, cerita Ultraman sempat juga dilayan.
Namun apabila usia menginjak dewasa, jarang pula cerita2 sebegini ditonton. 
Walaupun kita dah semakin dewasa dan semakin kurang melayan cerita-cerita yang sedemikian,
tetapi jika diperhatikan, adik-adik dan kanak-kanak zaman sekarang masih lagi menonton cerita ni.

Bila diri dah mula suka, bila hati dah mula tertaut, tentu sukar untuk melupakan apatah lagi untuk memisahkan kan… 
Begitulah juga dengan peminat tegar cerita ini. 
Cerita Otomen..

Memandangkan cerita Ultraman ni agak mendapat tempat di hati kanak-kanak, 
alangkah bagusnya jika kita dapat mengaitkan kebaikan yang tersembunyi di sebalik cerita ini untuk dijadikan manfaat bersama. 
Betul x?

Tapi persoalannya di sini, apakah kelebihan itu? 
Dan bagaimanakah untuk mengaitkannya dalam kehidupan seharian kita sebagai manusia? 
Nice question!

Baiklah…

Apakah perkara yang paling common dalam cerita Ultraman?
Of course la ada raksasa dan ada Ultraman kan…

Okay, sekarang...
Yang mana baik dan yang mana sebaliknya?
Tentu sekali Ultraman yang baik dan raksasa sebaliknya kan… 
Sudah terang lagi bersuluh kot.

Pernahkah anda melihat minyak dan air bersatu? Tak pernah kan… 
Sebabnya air dan minyak adalah dua unsur yang berbeza. 
Begitulah juga dalam cerita ini. 
Dua unsur yang bertentangan (baik dan jahat) pasti sahaja tidak dapat bersatu, iaitu Ultraman dan raksasa tersebut la.

Allah telah menetapkan dalam sunnah-Nya bahawa perkara yang haq (benar) dan yang bathil (salah) itu tidak akan bersatu. 
Dan orang-orang yang beriman dilarang untuk mencampur adukkan antara yang haq dan yang batil. 
Seperti firman Allah:

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang haq dengan yang bathil 
dan janganlah kamu sembunyikan yang haq itu, 
sedang kamu mengetahui.”
(al-Baqarah:42)


Okay, back to the story…

Kebiasaannya, raksasa tersebut saiznya besar kan… 
Kemudian raksasa tersebut mesti akan melakukan kerosakan dan kemusnahan kan…

Apakah yang dilakukan oleh Ultraman pula? 
Adakah Ultraman meminta agar raksasa itu menjadi kecil supaya senang untuk dilawan? 
Atau adakah Ultraman hanya membiarkan raksasa itu terus mendominasi dan berbuat sesuka hati?
Atau pun Ultraman melarikan diri?

You know the answer already! 

Muncul seseorang yang kemudiannya bertukar menjadi Ultraman kan… 
Atau dalam erti kata lain, Ultraman itu memilih untuk membesarkan dirinya instead of meminta raksasa itu menjadi kecil.

Apabila Ultraman dah menjadi besar, maka berlwanlah mereka..
Ultraman dan raksasa...
Setelah berlawan dan berlawan, siapa yang menang? 
Haaa...Semestinya la Ultraman kan…
Tapi untuk menang tu bukan senang kan… 
Ultraman terpaksa berlawan… 
Ultraman terpaksa bersakit… 
Dan ada masanya, Ultraman hampir juga dikalahkan… 
Pernah tengok kan ada satu bahagian di dada Ultraman yang boleh menyala kan… 
Tapi adakah Ultraman mengalah? 
Adakah Ultraman itu membiarkan sahaja raksasa itu menang? 
Pasti TIDAK! 
Ultraman terus berjuang dan berjuang sehinggalah mencapai kemenangan.

Dalam sesetengah cerita pula, muncul Ultraman lain selain Ultraman itu sendiri kan… 
Ultraman lain itu muncul untuk membantu apabila keadaan memerlukan kan… 
Antara Ultraman yang muncul tersebut, ada yang dalam kalangan keluarganya dan ada pula dalam kalangan sahabat-sahabatnya kan (kalau tak silap la)…

And the ending is always, Ultraman won over the monster.

Ok, that’s the story of Ultraman. 
What about us? 
How are we going to relate it with our life? 
That’s the question, right?
Good!

Baiklah. 
Pernahkah anda berhadapan dengan masalah? 
Hmm... Mestilah PERNAH kan. 
Mana ada orang yang tak pernah ada masalah. 
Malah orang yang berkata “Aku takde masalah” adalah orang yang paling banyak masalah sebenarnya.
Dan masalahnya yang paling besar dirinya adalah dia tak tahu apa masalah yang dia ada. 
Itu yang parah tu...

Okay, baiklah...
Memandangkan setiap orang pernah ada masalah, macam mana anda menghadapinya? 
Adakah anda menyelesaikannya dengan baik? 
Adakah anda melarikan diri? 
Adakah anda buat tak tahu dan membiarkan sahaja masalah tersebut mengganggu kehidupan?

Cuba kaitkan dengan cerita Ultraman tadi.

Persoalan pertama: 
Apa yang Ultraman itu lakukan? 
Adakah Ultraman buat tak tahu? 
Adakah Ultraman melarikan diri? 
Ultraman itu cuba mengalahkan raksasa itu sehingga berjaya kan.

Persoalan kedua: 
Adakah Ultraman meminta agar raksasa menjadi kecil? 
Atau Ultraman itu memilih untuk membesarkan dirinya? 
Ultraman membesarkan dirinya kan…

Begitulah dalam kehidupan kita. 
Ultraman itu umpama diri kita. 
Raksasa itu pula masalah atau ujian yang kita hadapi yang perlu kita atasi.

Jadi, apakah yang seharusnya kita lakukan? 
Meminta agar masalah atau ujian itu menjadi kecil? 
Atau kita yang perlu menjadi besar?

Pilihlah untuk menjadi besar. 
Kerana masalah/ujian tetap akan kekal sebagai masalah/ujian, 
ia tidak akan menjadi besar atau kecil. 
Jadi, kitalah yang perlu menjadi besar. 
Persoalannya sekarang, bagaimana untuk menjadi besar? 
Jika anda mampu bertanyakan soalan ini, anda sudah maju setapak. 
Itu menunjukkan bahawa anda bersedia untuk menjadi besar.

Besarkanlah diri anda dengan membesarkan jiwa dan iman di dalam diri anda. 
Apabila anda memiliki jiwa yang besar dan iman yang besar, 
masalah/ujian yang muncul akan kelihatan kecil. 
Dengan itu, lebih senanglah untuk anda menghadapi dan menyelesaikannya.

Eh, sekejap.. 
Sebelum terlupa, bagaimana dengan kemunculan Otomen2 yang lain tu pula?
Macam mana nak kaitkan?
Haha... Really good question.
Itu mewakili insan di sekeliling kita...
Terutamanya ahli keluarga dan sahabat-sahabat...
Adakalanya kita terasa lemah dan tak mampu untuk menghadapinya seorang diri.
Maka mereka inilah yang ada untuk membantu.

Justeru, konklusinya adalah:

“Usah dipinta dikecilkan ujian 
tapi pintalah agar dibesarkan iman untuk menghadapinya.”




Sebesar mana pun raksasa,
Otomen tetap akan pilih untuk lawan
hingga Otomen menang
dan selamatkan dunia
serta insan-insan tersayang.


Otomen sentiasa akan menang!
Kalau tak menang, bukan hero la namanya kan.

Sekian, cerita Aku dan Otomen. 
Lepas ni kalau ada antara adik-adik atau anak-anak nak tengok cerita Otomen, pandai-pandailah yer!

Moga perkongsian ini bermanfaat.

11.12.13

Satu tarikh yang tersusun cantik. Alangkah bertambah cantiknya ia jika hari tersebut dipenuhi dengan pelbagai aktiviti pengisian yang baik dan bermanfaat.

Pastinya ramai yang menyedari tentang hadirnya tarikh ini. Mungkin juga ada ramai yang memilih untuk melakukan sesuatu yang berbeza dan bermakna pada tarikh ini. Ada yang memilih untuk bertunang atau berkahwin pada tarikh ini. Tarikh ini hanya muncul sekali dalam seumur hidup. Sebaik sahaja ia berlalu, tidak mungkin kita akan menemuinya lagi. Sebab itulah ramai yang memilih untuk membuat kelainan pada tarikh tersebut, melakukan sesuatu yang mungkin tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya.

Masing-masing mempunyai pandangan dan perancangan yang berbeza.
Namun apa yang ingin ditegaskan adalah, tarikh ini tidak mungkin akan berulang kembali. Sebaik sahaja ia berlalu, ia hanya akan tinggal sebagai kenangan dan masa lalu. Disebabkan itulah kita digalakkan untuk memanfaatkan ia dengan sebaiknya.

Begitulah juga dengan kehidupan kita. Kita akan melalui hidup ini hanya sekali. Di saat Izrail datang menjemput kita, kita akan pergi buat selamanya. Apabila kita telah ‘pergi’, tiada ruang dan peluang lagi untuk kita kembali ke dunia semula.

Maka kita perlulah menggunakan masa yang diberikan ketika hidup di dunia ini dengan sebaiknya. Kehadiran tarikh yang cantik tersusun ini boleh dianggap sebagai satu nasihat dan peringatan secara tak langsung kepada kita, umat manusia, bahawa setiap apa yang hadir itu bakal berlalu. Dan setiap yang berlalu itu tidak dapat diulang kembali. Dengan itu, diharapnya agar setiap insan mengambil pengajaran yang sepatutnya daripada ‘silent reminder’ tersebut.

Memetik salah satu surah dari kitab suci al-Quran sebagai peringatan bersama:

“Dan demi masa.
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh
dan berpesan-pesan (nasihat menasihati) dengan kebenaran
dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”
(Al-‘Asr, 103: 1-3)

Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan yang rugi itu. Untuk itu, kita perlulah sentiasa berusaha mengelakkan diri daripada menuju ke arahnya. Dengan sentiasa mengingatkan diri bahawa apa yang dilalui tidak akan berulang lagi, mungkin dapat membuatkan kita lebih berwaspada dan berusaha untuk menghargai setiap detik yang berlalu. 

11.12.13 tidak mungkin akan berulang lagi. Setiap hari yang berlalu juga tidak mungkin dapat diulang kembali. Begitu juga hayat kita. Maka manfaatkanlah setiap detik yang dilalui dengan sebaiknya. Jadilah seseorang yang sentiasa mendekatkan diri kepada-Nya dan jadilah seseorang yang sentiasa memberi manfaat kepada manusia lain.


Wallahua’lam

Sunday, December 8, 2013

Menjadi Yang Terbaik dalam Kekurangan Yang Ada

Aku tidaklah sebijak Nabi Khidir.
Aku tidaklah sekacak Nabi Daud.
Aku tidaklah setegas Nabi Sulaiman.
Aku tidaklah setabah Nabi Ibrahim.

Tetapi akan aku bimbing kau..
seperti Nabi Khidir membimbing isteri-isterinya.

Tetapi akan aku mengawal nafsuku..
seperti Nabi Daud bersama Zulaika.

Tetapi akan aku memimpin amal dan ilmumu..
seperti Nabi Sulaiman dengan Puteri Balqis.

Dan tetapi aku juga akan bersamamu walau susah dan senang..
seperti Nabi Ibrahim bersama Sarah, Hajar dan Qathura.

Aku akan menjadi yang terbaik,
dalam kekurangan yang ada.

Aku tahu bukanlah mudah bagiku.
Tetapi itulah yang perlu dilakukan.
Kerana aku tahu nilai harga di sebalik sebuah ikatan.
Ikatan itu satu ikatan yang sungguh mulia.
Ikatan itu bukan hanya untuk aku, tapi juga untukmu.
Ikatan itu bukan saja berhenti di situ.
Tapi ikatan itu berterusan sehingga akhir nafas individu.
Malah aku berharap ikatan itu terus berkekalan hingga ke Syurga Firdaus.
Dari ibu bapa dan sanak saudara ku pinta restu..
Redha kupohon dari Allah Yang Satu..

Maka untuk itu, aku harus bermula..
Bermula dari detik sekarang..
Kerana persiapan secukupnya perlu aku buat sebelum nanti kita ditakdirkan bersatu.
Semoga kau juga begitu.
Sedia melengkapkan dirimu dengan segala yang perlu.
Kerana engkaulah harapanku.
Bidadari yang bakal menjadi sayap kiriku.
Pelengkap kepada separuh lagi agamaku.
Permaisuri yang bakal bertakhta di hatiku.
Ibu yang bakal memberi zuriat penyambung generasiku.

Semoga keduanya sentiasa berada dalam lindungan Allah Yang Maha Esa,
walau di mana saja berada,
walau siapa pun orangnya.

Kau dan aku..
Sama-samalah berusaha..
Menjadi yang terbaik..
Dalam kekurangan yang ada..

Inshaa Allah.


Ada Apa Di Sebalik Kata

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan lafaz yang mulia sebagai pembuka bicara, moga segala tulisan dan perkongsian diiringi rahmat dan redha-Nya.

Ada Apa Di Sebalik Kata?

Ramai yang bijak dalam berkata-kata. Tidak kurang juga yang hebat dalam menyusun bait-bait kata. 
Namun apa yang ada di sebalik kata?

Di sebalik kata…
Indah jika kena pada situasinya..
Menarik jika kena pada tempatnya..
dan sungguh bermakna jika kena pada waktunya.

Kata-kata itu adakalanya mampu menjadi sumber kekuatan. 
Kata-kata itu juga kadang-kadang boleh menjadi pembunuh secara diam.
Teringat satu lagu yang mana sesuai untuk dikongsikan bersama. 
Liriknya juga berkaitan dengan tajuk yang diberi, berkisarkan tentang kata-kata:

"...Kata ibarat pedang
Yang tajamnya bisa membunuh lawan
Kata-kata yang berhikmah
Menyedarkan kita ...

Kata madah pujangga
Bisa menjadi pedoman manusia
Jagalah bahasa kata kita
Jangan disalah guna..."

(In-Team : Bicara kata)

Maka haruslah sentiasa berwaspada sebelum lidah laju menutur bicara. Gunakanlah akal yang dikurnia sebelum mengucapkan sesuatu perkara. Kerana kata, manusia mendapat kerja. Kerana kata, manusia berjaya. Kerana kata, manusia boleh jatuh cinta. Namun kerana kata juga, manusia boleh hilang percaya. Malah kerana kata, ada pula yang menjadi binasa. 
Masih segar di ingatan sebuah ungkapan yang dipelajari ketika di bangku sekolah dahulu kala: 
“Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.”
Ada juga benarnya peribahasa tersebut.

Jelaslah bahawa kata-kata itu sangat penting untuk dijaga. Jika tersilap kata meskipun sepatah cuma, buruk padahnya. Malah lebih teruk lagi, seseorang boleh jatuh kufur jika tidak berhati-hati dalam berkata-kata. Na’udzubillah.

Zaman sekarang adalah zaman moden dan zaman serba canggih. Segalanya hanya di hujung jari. Begitulah juga dengan kata-kata. Kini kata-kata sudah tidak terhad pada apa yang terlafaz di hujung bibir semata. Tidak juga pada lakaran tarian hujung pena melalui warkah sahaja. Namun masing-masing bebas dengan untaian kata melalui hujung jari yang laju menaip. Pelbagai medium telah tersedia. Facebook, Tweeter, Blog, Friendster, WhatsApp dan macam-macam lagi, yang mungkin tidak akan habis untuk disenaraikan. Itulah hasilnya, kesan dari pembangunan arus pemodenan yang sentiasa pesat berkembang dari semasa ke semasa.
Secara ringkasnya, sebarang bentuk penulisan juga adalah termasuk dalam kategori ‘kata-kata’. Dan ia juga perlu diambil kira dan dijaga. Barangkali ia juga akan membawa impak yang serupa.

Kadangkala terdetik juga di hati kecil, patutkah bibir menutur kata jika tidak seiring dengan apa yang ada di hati? Haruskah bibir mengucapkan kata yang tidak pula dibuktikan melalui perbuatan yang nyata? Hati dan fikiran bertarung mendapatkan jawapan. Debaran dan kerisauan makin terasa apabila teringat ayat-ayat dari al-Quran:

“Wahai orang-orang yang beriman! 
Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? 
(Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah 
jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”     
  [As-Saff, 61:2-3]

Ayat itu saja sudah cukup untuk menggetarkan hati yang kecil ini. 

Kata bukan sebarang kata, kata tersembunyi sejuta makna.
Kata bukan sebarang kata, kata perlu disoroti dengan tindakannya.
Kata bukan sebarang kata, kata ada baik buruknya.
Kata bukan sebarang kata, kata perlu sentiasa dijaga.
Kata bukan sebarang kata, kata melambangkan siapa kita.
Kata bukan sebarang kata, kata boleh mempengaruhi masa depan kita.
Kata bukan sebarang kata, kata menentukan redha atau murka Yang Maha Esa.

Wallahua'lam.