Tuesday, January 6, 2015

Jenis-Jenis Tangisan

Masih ingatkah lagi kita bila kali terakhir kita menitiskan air mata? Bila kali terakhir kita menangis?
Tahukah bahawa setiap tangisan itu adalah berbeza? Terdapat beberapa jenis tangisan yang dialami manusia.

Imam Ibnu Qayyim, rahimahullah Taala, membahagikan jenis-jenis tangisan secara umum kepada sepuluh jenis, iaitu:

  1. Tangisan kerana rasa kasih sayang dan belas kasihan.
  2. Tangisan kerana rasa cemas dan takut kepada Allah.
  3. Tangisan kerana cina dan rindu.
  4. Tangisan kerana rasa senang dan gembira.
  5. Tangisan kerana gelisah dari penyakit yang dideritai dan tidak sanggup menanggungnya.
  6. Tangisan kerana sedih.
  7. Tangisan kerana lemah.
  8. Tangisan kerana penyakit infak, iaitu mata mengalirkan air mata, tetapi hati keras membatu. Dengan demikian, dia menampakkan kekhusyukan di hadapan orang ramai, namun hatinya keras membatu.
  9. Tangisan kerana dipinjam dan disewa, seperti tangisan orang yang mendapat upah dengan meratapi orang meninggal dunia. Tangisan seperti ini sebagaimana yang dikatakan oleh Umar bin Al-Khattab r.a, seperti menjual kesedihan dengan cara menangis kerana telah mencederakan orang lain.
  10. Tangisan kerana kebetulan. Dia melihat orang-orang sama menangis kerana ada peristiwa yang menimpa mereka, lalu dia menangis bersama mereka. Dia menangis seperti itu dengan keadaan tidak tahu kenapa mereka menangis.
Dengan demikian, tangisan itu ada dua jenis: tangisan yang terpuji dan tangisan yang tercela. Tangisan yang terpuji ialah tangisan yang didorong oleh perasaan hati yang lembut, di samping itu ianya didorong oleh rasa takut kepada Allah SWT. Sedangkan tangisan yang tercela ialah tangisan yang didorong oleh keinginan untuk memperoleh perhatian manusia dan tangisan yang hanya sekadar sia-sia.

Perbezaan antara menangis kerana didorong oleh rasa kesedihan dan kecemasan adalah, tangisan kerana kesedihan ini timbul atas peristiwa-peristiwa yang tidak disukai oleh hati yang telah berlaku pada masa lalu. Sementara tangisan kerana kecemasan ini muncul akibat peristiwa-peristiwa yang dijangkakan pasti akan terjadi pada masa akan datang.

Perbezaan antara tangisan kerana kegembiraan dan sukacita dengan tangisan kerana kesedihan adalah tangisan kerana kegembiraan iu air mata gembira yang dingin dan senang hati. Sementara air mata sedih itu panas dan hati sedih sekali. Oleh kerana itu, biasa disampaikan kepada sesuatu yang dapat mendatangkan kesedihan biasanya dikatakan sebagai pedihnya mata. Sesungguhnya dengannya Allah memberikan kepedihan pada matanya.

Yazid bin Maisarah, semoga Allah mengasihinya, berkata, 

"Tangisan itu disebabkan tujuh hal; menangis kerana senang, menangis kerana sedih, menangis kerana cemas, menangis kerana takut riyak, menangis kerana sakit, menangis kerana rasa syukur, dan menangis kerana takut kepada Allah SWT. Itulah jenis tangisan yang akan mengalir dari mata seperti mengalirnya lautan dari api neraka."


Sekarang kita telah ketahui pelbagai jenis tangisan yang ada. Maka nilailah diri kita semula, tangisan manakah yang selalu kita alami? 


Rujukan/Petikan dari buku berjudul "Setitik Air Mata Sejuta Makna" (Tajuk Asal: Dumu'us Salihin) karya Abul Fida' MUhammad Izzad dan diterjemah oleh Suhaila binti Lokman. Cetakan kedua pada 2010, terbitan Al-Hidayah Publication.

No comments:

Post a Comment