Tuesday, January 6, 2015

Jenis-Jenis Tangisan

Masih ingatkah lagi kita bila kali terakhir kita menitiskan air mata? Bila kali terakhir kita menangis?
Tahukah bahawa setiap tangisan itu adalah berbeza? Terdapat beberapa jenis tangisan yang dialami manusia.

Imam Ibnu Qayyim, rahimahullah Taala, membahagikan jenis-jenis tangisan secara umum kepada sepuluh jenis, iaitu:

  1. Tangisan kerana rasa kasih sayang dan belas kasihan.
  2. Tangisan kerana rasa cemas dan takut kepada Allah.
  3. Tangisan kerana cina dan rindu.
  4. Tangisan kerana rasa senang dan gembira.
  5. Tangisan kerana gelisah dari penyakit yang dideritai dan tidak sanggup menanggungnya.
  6. Tangisan kerana sedih.
  7. Tangisan kerana lemah.
  8. Tangisan kerana penyakit infak, iaitu mata mengalirkan air mata, tetapi hati keras membatu. Dengan demikian, dia menampakkan kekhusyukan di hadapan orang ramai, namun hatinya keras membatu.
  9. Tangisan kerana dipinjam dan disewa, seperti tangisan orang yang mendapat upah dengan meratapi orang meninggal dunia. Tangisan seperti ini sebagaimana yang dikatakan oleh Umar bin Al-Khattab r.a, seperti menjual kesedihan dengan cara menangis kerana telah mencederakan orang lain.
  10. Tangisan kerana kebetulan. Dia melihat orang-orang sama menangis kerana ada peristiwa yang menimpa mereka, lalu dia menangis bersama mereka. Dia menangis seperti itu dengan keadaan tidak tahu kenapa mereka menangis.
Dengan demikian, tangisan itu ada dua jenis: tangisan yang terpuji dan tangisan yang tercela. Tangisan yang terpuji ialah tangisan yang didorong oleh perasaan hati yang lembut, di samping itu ianya didorong oleh rasa takut kepada Allah SWT. Sedangkan tangisan yang tercela ialah tangisan yang didorong oleh keinginan untuk memperoleh perhatian manusia dan tangisan yang hanya sekadar sia-sia.

Perbezaan antara menangis kerana didorong oleh rasa kesedihan dan kecemasan adalah, tangisan kerana kesedihan ini timbul atas peristiwa-peristiwa yang tidak disukai oleh hati yang telah berlaku pada masa lalu. Sementara tangisan kerana kecemasan ini muncul akibat peristiwa-peristiwa yang dijangkakan pasti akan terjadi pada masa akan datang.

Perbezaan antara tangisan kerana kegembiraan dan sukacita dengan tangisan kerana kesedihan adalah tangisan kerana kegembiraan iu air mata gembira yang dingin dan senang hati. Sementara air mata sedih itu panas dan hati sedih sekali. Oleh kerana itu, biasa disampaikan kepada sesuatu yang dapat mendatangkan kesedihan biasanya dikatakan sebagai pedihnya mata. Sesungguhnya dengannya Allah memberikan kepedihan pada matanya.

Yazid bin Maisarah, semoga Allah mengasihinya, berkata, 

"Tangisan itu disebabkan tujuh hal; menangis kerana senang, menangis kerana sedih, menangis kerana cemas, menangis kerana takut riyak, menangis kerana sakit, menangis kerana rasa syukur, dan menangis kerana takut kepada Allah SWT. Itulah jenis tangisan yang akan mengalir dari mata seperti mengalirnya lautan dari api neraka."


Sekarang kita telah ketahui pelbagai jenis tangisan yang ada. Maka nilailah diri kita semula, tangisan manakah yang selalu kita alami? 


Rujukan/Petikan dari buku berjudul "Setitik Air Mata Sejuta Makna" (Tajuk Asal: Dumu'us Salihin) karya Abul Fida' MUhammad Izzad dan diterjemah oleh Suhaila binti Lokman. Cetakan kedua pada 2010, terbitan Al-Hidayah Publication.

Thursday, January 1, 2015

Sempena Tahun Baru- 2015

Pejam celik pejam celik, sekali lagi kita melangkah ke tahun baru. 
Alhamdulillah kerana masih lagi kita diberi peluang untuk bernafas di bumi-Nya.

Sedar atau tak sedar, keseluruhan hari kita adalah bergantung pada pagi kita. Jika elok subuh kita, maka inshaa Allah akan eloklah kseluruhan hari kita pada hari tersebut. Manakala jika terlewat atau terlepas Subuh kita maka akan hilanglah keberkatan hari tersebut. Nauzubillah...

Everyday we look into the mirror to ensure we look good to others. How about looking into our souls to see how we look to the Almighty God?

Sudah pasti, satu perkara yang amat penting untuk dinilai kan...

Sempena tahun baru ini, marilah kita merenung balik kehidupan kita sepanjang tahun-tahun yang lalu dan memuhasabah diri untuk meneruskan hari-hari yang mendatang. Jadikan saat ini sebagai turning point untuk kita kembali kepada jalan Sang Pencipta sebelum kita dipanggil untuk menghadap Sang Pencipta, kerana kita tidak pernah tahu apakah hari esok masih ada untuk kita? Wallahua'lam.

Tip untuk muhasabah diri?
JUJURLAH DENGAN DIRI SENDIRI. Itu sahaja. Andai masih ada hari esok untuk kita, moga hari esok itu jauh lebih daripada hari ini. Kerana Syurga-Nya yang kita ingini, tempat tinggal yang kekal abadi.

Saturday, December 20, 2014

Bagaimana Menjadi SAHABAT


Semasa zaman kanak-kanak, kita punya ramai sahabat.
Semasa zaman belajar, kita juga masih punya ramai sahabat.
Namun ketika kita di alam kerjaya, adakah kita punya sahabat?

Kita sering berfikir yang kita memainkan berbagai-bagai peranan kepada orang yang bekerja di samping kita - rakan sekerja, anggota pasukan, penyumbang, pesaing - tetapi kita sering lupa satu perkara yang diperlukan oleh setiap individu, iaitu SAHABAT.

Penyajak Ralph Waldo Emerson pernah menulis :

"Kemuncak persahabatan itu bukan daripada tangan yang dihulurkan, senyuman yang penuh mesra ataupun keseronokan semasa bersama. Ia adalah inspirasi spiritual yang muncul kepada seseorang apabila beliau dapati ada orang lain yang mempercayainya dan sanggup meletakkan kepercayaan yang tulus ikhlas kepadanya."

Maka, menjalinkan persahabatan dalam kerja berpasukan adalah amat penting. Kenapa? Ada tiga sebab utama:

1. Persahabatan asas kepada pengaruh.
- Presiden Abraham Lincoln berkata, "Sekiranya kita mahu seseorang menyokong perjuangan kita, mula-mula sekali, yakinkan beliau yang kita sahabatnya yang ikhlas."
2. Persahabatan adalah rangka kerja bagi kejayaan.
- Theodore Roosevelt berkata, "Perkara terpenting dalam formula kejayaan adalah mengetahui bagaimana berkawan dengan orang lain."
3. Persahabatan adalah tempat berlindung semasa susah.
- Aristotle berkata, "Sahabat sejati adalah tempat berlindung."

Namun persoalannya sekarang, BAGAIMANA MENJADI SAHABAT???

Ya! Kita sudah pun mempunyai kawan, jadi kita tahu bagaimana menjalin persahabatan. Tetapi perhubungan di tempat kerja selalunya berbeza. Tetapkan matlamat kita untuk MENJADI SAHABAT, bukan mencari sahabat. BAGAIMANA MENJADI SAHABAT? Ikuti langkah-langkah pendekatan berikut.

1. DENGAR!
- "Perkara paling asas yang diperlukan manusia adalah keperluan bagi memahami dan mahu difahami. Cara terbaik bagi memahami orang lain adalah dengan mendengar cakap mereka." (Raphs Nichols). Jika menjadi pendengar yang baik kepada rakan sekerja, mereka akan mahu meluangkan masa bersama kita. mereka mula mencari-cari kita. Penulis Richard Exley pernah berkata: "Sahabat sejati adalah orang yang mendengar dan dapat menyelami peraaan dalam lubuk hati kita. Beliau menyokong kita apabila kita terkial-kial; beliau membetulkan kita dengan lemah lembut apabila kita tersilap; beliau memaafkan kita apabila kita tersilap. Sahabat sejati mendorong kita kepada pertumbuhan peribadi, meregang potensi kita yang paling tinggi. Dan yang paling menakjubkan, beliau meraikan kejayaan kita sama seperti kejayaannya sendiri." 

2. CARI MINAT YANG SERUPA & TIADA KAITAN DENGAN KERJA
- Jika kita lihat setiap individu berotensi menjadi kawan, carilah titik perhubungan itu di dalam dan di luar tempat kerja. Kita pasti dapat menemuinya. Begitulah cara persahabatan dapat dibina. Frank A. Clark berkata, "Bagi menikmati keseronokan bersahabat, saya lebih memerlukan minat yang sama daripada membenci orang yang sama." Cuba cari persamaan ini.

3. DAPAT DIHUBUNGI DI LUAR WAKTU PEJABAT
- Persahabatan yang sebenar bermaksud dapat dihubungi. Persahabatan yang sebenar bukan berpandu pada pusingan jam. Apabila sahabat sedang memerlukan, sahabat sejati tidak berkata, "Sekarang sudah pukul lima. Boleh kamu hubungi saya semula esok?" Yang jelas, kita mahu menghormati hak peribadi orang lain dan kita tidak mahu mengganggu hak peribadinya. Namun, kepimpinan bukan hanya setakat dari pukul 9 hingga pukul 5, persahabatan pun bukan begitu.

4. JANGAN TERLALU SERIUS
- Menurut pemain piano dan pelawak, Victor Borge, "Ketawa adalah jarak terdekat antara dua individu." Jadi, jangan menjadi terlalu serius. Jika kita kekalkan rasa lucu ini (walaupun dalam masa yang sukar, kerja yang payah dan rakan sekerja sedang marah-marah), kita membantu mengubah suasana menjadi positif dan kita dilihat mudah didekati oleh rakan sekerja. Itu juga membantu kita untuk mendapat kawan.

5. BERKATA BENAR WALAUPUN ORANG LAIN TIDAK MELAKUKANNYA
- Tidak semua dapat melakukannya kerana mereka mungkin tidak mahu merosakkan hubungan itu. Namun menurut Henry Ford, "Sahabat yang baik adalah seseorang yang dapat melahirkan bakat terpendam yang tertanam dalam diri kamu." Selalunya bakat terpendam itu diasah melalui dorongan, tetapi kadang-kadang perkara terbaik yang dapat kita lakukan kepada sahabat adalah dengan berkata benar.


Pendekatan ni tak semestinya terhad kepada mereka yang dah berkerjaya saja. Bagi pelajar yang aktif berorganisasi di kampus juga boleh mengamalkannya. Jalinkan persahabatan dengan semua. Ingat! Jangan hanya mencari sahabat, tetapi kita yang perlu MENJADI SAHABAT terlebih dahulu. 

p/s: 
Jadilah sahabat kepada semua orang. Apabila kita mempunyai sahabat, kita tahu ada seseorang yang sentiasa menyokong kita. Seperti peribahasa lama, sekiranya kita mempunyai walaupun seorang musuh, kita akan menemuinya ke mana sahaja kita pergi. Memang tidak berbaloi menyimpan musuh. Jalani hidup yang membolehkan kita menjadi baik hati dan bersahabat dengan semua orang. Kita akan terkejut betapa bahagianya kehidupan kita nanti. Kita juga akan terkejut dengan pengaruh yang akan kita peroleh dengan rakan sejawat. Dan ingatlah bahawa sahabat yang paling baik adalah sahabat yang dapat membawa kita mengenal Pencipta dan mengajak kita mendekati-Nya.

Selamat maju jaya buat semua. 

Monday, November 17, 2014

HEBATNYA HATI MANUSIA


Ingin sekali diri ini tampil untuk berkongsi perihal HATI tatkala ini.
Apa itu HATI? Hebat sangatkah HATI ni?
Tak kenal maka taaruf kan...
Ayuh kita cuba kenali apa yang dimaksudkan dengan HATI sebenarnya?

1. Menurut Kamus Dewan edisi baru, HATI bermaksud organ dalam badan yang berwarna perang kemerah-merahan. Letaknya di dalam perut di bahagian sebelah kanan. Tugasnya pula untuk mengeluarkan hempedu, mengawal kandungan kuda dalam darah, menawarkan racun nitrogen, menghasilkan urea dan menyimpan glikogen.

2. Menurut tafsiran sufi, HATI merupakan organ yang bercahaya dan terletak di antara  roh dan jiwa. 

3. Menurut ahli falsafah, HATI adalah faktor utama melahirkan manusia yang sejati dan ia dinamakan jiwa yang rasional.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, hanyalah mereka yang apabila disenut nama Allah, maka gementarlah HATI mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal."
(Surah Al-Anfal : 2)

Sedar tak sedar, HATI diistilahkan dengan pelbagai perkataan, diterangkan dengan seribu satu cerita dan kisah. Hati digambarkan dengan pelbagai olahan dan bicara serta dimiliki oleh setiap manusia, setiap hamba, setiap makhluk yang bernaung di dunia fana yang penuh ranjau ini.

Malah HATI dikaji oleh ramai para bijaksana dan pakar. 
- Pakar agama membincangkan tentang HATI dari sudut agama. 
- Para intelektual membincangkan HATI dari sudut pembangunan jiwa.
- Pakar sains memperkatakan HATI dari sudut saintifik.
- Pakar kemanusiaan mengkaji HATI dari sudu sikap manusia itu sendiri.

Namun sehinggakini sebuku daging merah yang lembut ini masih menjadi tanda tanya seantero dunia.

Nabi Muhammad SAW di dalam sebuah hadis yang menyebutkan:
"Sesungguhnya di dalam sebuah tubuh ada segumpal darah. Jika segumpal darah tersebut baik maka baiklah seluruh tubuhnya, ada pun jika segumpal darah tersebut rosak maka akan rosaklah seluruh tubuhnya, ketahuilah segumpal darah tersebut adalah HATI."

HATI bagaikan raja, pusatm, nukleus yang menggerakkan tubuh manusia untuk melakkan segala pergerakan, perlakuan, dan tindak balas. 

Jika hati cenderung untuk melakukan kebaikan maka tubuh manusia akan melakukan perkara-perkara kebaikan dan kebijaksanaan.

Jika hati manusia cenderung untuk melakukan kebaikan, maka tubuh manusia akan menuju kepada perkara-perkara kejahatan dan kemungkaran.

Semuanya berpunca daripada HATI. Jika kita mahu memperbaiki diri kita maka perbaikilah HATI kita terlebih dahulu.

Wallahua'lam.

Saturday, May 24, 2014

Syukur Dengan Apa Yang Ada

Hari ini saya ingin kongsikan sesuatu bersama para pembaca sekalian.
Sesuatu yang mungkin kelihatan biasa tetapi adakalanya kita sendiri terlepas pandang tentangnya. 
Sudah menjadi lumrah kehidupan sekiranya seseorang itu selalu mendambakan sesuatu dalam hidupnya.
Namun kadangkala kerana terlalu mengejar sesuatu impian tertentu, kita terlupa nikmat dan rezeki yang diberikan dalam satu bentuk yang lain.

Ayuh kita renungkan perkongsian ini.

Jika tiada rezeki anak,
mungkin diberikan rezeki mertua yang baik.
Maka kita lebih bahagia dari mendapat anak yang liar.
----------------------
Jika tiada rezeki wang ringgit,
mungkin diberikan rezeki kesihatan.
Maka kita lebih bahagia dari kerisauan menjaga harta dunia.
--------------------------
Jika tiada rezeki kereta mewah,
mungkin diberikan rezeki kenderaan yang jarang menimbulkan masalah.
Maka kita lebih bahagia dari membayar kerosakan yang mahal.
-----------------------
Jika tiada rezeki rumah yang besar,
mungkin diberikan rezeki makanan yang tidak pernah putus.
Maka kita lebih bahagia dari si gelandangan.
-----------------
Jika tiada rezeki pasangan yang cantik,
mungkin diberikan rezeki pasangan yang baik dan pandai menguruskan rumahtangga.
Maka kita lebih bahagia kerana hidup berteman dan terjaga segala.
-------------------
Jika tiada rezeki jodoh,
mungkin diberikan rezeki umur ibu bapa yang panjang.
Maka kita lebih bahagia dapat berbakti sepenuhnya pada orang tua.
---------------------
Jika tiada rezeki hari ini, 
mungkin ada rezeki yang lebih baik pada esok hari.
Maka kita lebih bahagia kerana rezeki yang tidak dijangka.
------------
Bersabar. Bersyukur. Berusaha. Berdoa.
Bertawakal.
Hanya Dia, Allah Yang Maha Adil
--------------


Adakalanya kita mungkin mengeluh kerana tidak berjaya memperolehi apa yang kita inginkan. Sesekali renungkan kembali apa yang kita miliki. Bersyukurlah dengan apa yang ada dan apa yang diberikan. Barangkali apa yang kita inginkan itu belum tentu terbaik untuk kita, sebab itu kita tidak memperolehinya. Dan yakinlah bahawa apa yang kita miliki itu adalah yang terbaik untuk kita. Al-Quran sendiri telah menjelaskan hal ini dalam surah al-Baqarah, ayat ke-216.

"... boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."   (QS 2:216)

Maka bersyukurlah.
Sukai, sayangi, cintai, hargai dan nikmatilah apa yang kita miliki.
Kerana belum tentu insan lain memiliki apa yang kita miliki.
Jadilah insan yang sentiasa bersyukur.

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". (Surah Ibrahim:7)


Wallahua'lam.

Saturday, April 26, 2014

Feel Like QUITTING?


Dah lama rasanya tak menulis entry untuk blog ni.
Apa sebabnya yer?
Apa yang menghalang agaknya?
Kesibukankah?
Ketiadaan ideakah?
Kebosanankah?
Atau saja-sajakah?

Ia boleh jadi macam-macam sebenarnya.
Terpulang pada diri masing-masing.
Yer...terpulang pada diri.
Terpulang samada ingin melihatnya sebagai penghalang.
Terpulang samada ingin menjadikannya sebagai alasan.
Terpulang samada ingin memandangnya sebagai ujian an cabaran.
Atau terpulang samada ingin mengambilnya sebagai pendorong semangat.
Semuanya terpulang pada diri sendiri.
Begitulah juga dalam kehidupan kita.
Pelbagai perkara akan muncul.
Pelbagai perkara akan hadir.

Adakalanya kita berasa lemah.
Adakalanya kita ingin mengalah.
Adakalanya kita nyaris tewas.

Apabila ini yang berlaku, yang kita perlukan cuma satu.
KEYAKINAN YANG JITU.
Yer... Betul tu.
Kerana daripada keyakinan inilah yang mampu memberi kita kekuatan untuk terus maju.

Ingin berjaya?
Ingat dan pegang pada kata-kata ni:

"When You Feel Like Quitting, Remember Why You Started"

Sunday, December 22, 2013

Ketidaksengajaan Yang Ditakdirkan

Kadangkala ada perkara yang berlaku kepada kita secara tidak disengajakan.
Atau biasanya kita panggil sebagai 'kebetulan'.
'Kebetulan' tu cuma bahasa kita jer.
Sebenarnya tidak ada yang kebetulan dalam hidup ni.
Melainkan semuanya adalah ketetapan dan ketentuan Allah SWT.
Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya.
Setiap yang terjadi itu pasti ada sesuatu untuk kita ambil iktibar daripadanya.
Kerana hidup ini indah, setiap detik itu adalah istimewa.
Maka setiap pengajaran untuk diri hadir dengan pelbagai cara.
Untuk membolehkan kita belajar dengan lebih berkesan.
Agar menjadi menarik dan tidak membosankan.

Suatu hari semasa menekan-menekan di Youtube, terkeluarlah satu cerita ni.
Tertarik dengan tajuknya, maka memilih untuk menontonnya.
Walaupun belum sempat menonton sepenuhnya, tapi kerana yakin bahawa cerita ini ada nilai tersendiri, teringin untuk berkongsi dengan semua. 
Inilah ketidaksengajaan yang dimaksudkan.
Tidak sengaja menekan Youtube sehingga akhirnya menemui cerita ini.
Tapi ingin ditegaskan lagi sekali bahawa ini bukanlah ketidaksengajaan yang biasa melainkan ketidaksengajaan yang ditakdirkan.
Kerana yakin bahawa ada sesuatu di sebalik cerita ini.
Mudah-mudahan kita mendapat manfaat daripadanya.
Inshaa Allah.



"Pencari Jalan Lurus"