Saturday, December 20, 2014

Bagaimana Menjadi SAHABAT


Semasa zaman kanak-kanak, kita punya ramai sahabat.
Semasa zaman belajar, kita juga masih punya ramai sahabat.
Namun ketika kita di alam kerjaya, adakah kita punya sahabat?

Kita sering berfikir yang kita memainkan berbagai-bagai peranan kepada orang yang bekerja di samping kita - rakan sekerja, anggota pasukan, penyumbang, pesaing - tetapi kita sering lupa satu perkara yang diperlukan oleh setiap individu, iaitu SAHABAT.

Penyajak Ralph Waldo Emerson pernah menulis :

"Kemuncak persahabatan itu bukan daripada tangan yang dihulurkan, senyuman yang penuh mesra ataupun keseronokan semasa bersama. Ia adalah inspirasi spiritual yang muncul kepada seseorang apabila beliau dapati ada orang lain yang mempercayainya dan sanggup meletakkan kepercayaan yang tulus ikhlas kepadanya."

Maka, menjalinkan persahabatan dalam kerja berpasukan adalah amat penting. Kenapa? Ada tiga sebab utama:

1. Persahabatan asas kepada pengaruh.
- Presiden Abraham Lincoln berkata, "Sekiranya kita mahu seseorang menyokong perjuangan kita, mula-mula sekali, yakinkan beliau yang kita sahabatnya yang ikhlas."
2. Persahabatan adalah rangka kerja bagi kejayaan.
- Theodore Roosevelt berkata, "Perkara terpenting dalam formula kejayaan adalah mengetahui bagaimana berkawan dengan orang lain."
3. Persahabatan adalah tempat berlindung semasa susah.
- Aristotle berkata, "Sahabat sejati adalah tempat berlindung."

Namun persoalannya sekarang, BAGAIMANA MENJADI SAHABAT???

Ya! Kita sudah pun mempunyai kawan, jadi kita tahu bagaimana menjalin persahabatan. Tetapi perhubungan di tempat kerja selalunya berbeza. Tetapkan matlamat kita untuk MENJADI SAHABAT, bukan mencari sahabat. BAGAIMANA MENJADI SAHABAT? Ikuti langkah-langkah pendekatan berikut.

1. DENGAR!
- "Perkara paling asas yang diperlukan manusia adalah keperluan bagi memahami dan mahu difahami. Cara terbaik bagi memahami orang lain adalah dengan mendengar cakap mereka." (Raphs Nichols). Jika menjadi pendengar yang baik kepada rakan sekerja, mereka akan mahu meluangkan masa bersama kita. mereka mula mencari-cari kita. Penulis Richard Exley pernah berkata: "Sahabat sejati adalah orang yang mendengar dan dapat menyelami peraaan dalam lubuk hati kita. Beliau menyokong kita apabila kita terkial-kial; beliau membetulkan kita dengan lemah lembut apabila kita tersilap; beliau memaafkan kita apabila kita tersilap. Sahabat sejati mendorong kita kepada pertumbuhan peribadi, meregang potensi kita yang paling tinggi. Dan yang paling menakjubkan, beliau meraikan kejayaan kita sama seperti kejayaannya sendiri." 

2. CARI MINAT YANG SERUPA & TIADA KAITAN DENGAN KERJA
- Jika kita lihat setiap individu berotensi menjadi kawan, carilah titik perhubungan itu di dalam dan di luar tempat kerja. Kita pasti dapat menemuinya. Begitulah cara persahabatan dapat dibina. Frank A. Clark berkata, "Bagi menikmati keseronokan bersahabat, saya lebih memerlukan minat yang sama daripada membenci orang yang sama." Cuba cari persamaan ini.

3. DAPAT DIHUBUNGI DI LUAR WAKTU PEJABAT
- Persahabatan yang sebenar bermaksud dapat dihubungi. Persahabatan yang sebenar bukan berpandu pada pusingan jam. Apabila sahabat sedang memerlukan, sahabat sejati tidak berkata, "Sekarang sudah pukul lima. Boleh kamu hubungi saya semula esok?" Yang jelas, kita mahu menghormati hak peribadi orang lain dan kita tidak mahu mengganggu hak peribadinya. Namun, kepimpinan bukan hanya setakat dari pukul 9 hingga pukul 5, persahabatan pun bukan begitu.

4. JANGAN TERLALU SERIUS
- Menurut pemain piano dan pelawak, Victor Borge, "Ketawa adalah jarak terdekat antara dua individu." Jadi, jangan menjadi terlalu serius. Jika kita kekalkan rasa lucu ini (walaupun dalam masa yang sukar, kerja yang payah dan rakan sekerja sedang marah-marah), kita membantu mengubah suasana menjadi positif dan kita dilihat mudah didekati oleh rakan sekerja. Itu juga membantu kita untuk mendapat kawan.

5. BERKATA BENAR WALAUPUN ORANG LAIN TIDAK MELAKUKANNYA
- Tidak semua dapat melakukannya kerana mereka mungkin tidak mahu merosakkan hubungan itu. Namun menurut Henry Ford, "Sahabat yang baik adalah seseorang yang dapat melahirkan bakat terpendam yang tertanam dalam diri kamu." Selalunya bakat terpendam itu diasah melalui dorongan, tetapi kadang-kadang perkara terbaik yang dapat kita lakukan kepada sahabat adalah dengan berkata benar.


Pendekatan ni tak semestinya terhad kepada mereka yang dah berkerjaya saja. Bagi pelajar yang aktif berorganisasi di kampus juga boleh mengamalkannya. Jalinkan persahabatan dengan semua. Ingat! Jangan hanya mencari sahabat, tetapi kita yang perlu MENJADI SAHABAT terlebih dahulu. 

p/s: 
Jadilah sahabat kepada semua orang. Apabila kita mempunyai sahabat, kita tahu ada seseorang yang sentiasa menyokong kita. Seperti peribahasa lama, sekiranya kita mempunyai walaupun seorang musuh, kita akan menemuinya ke mana sahaja kita pergi. Memang tidak berbaloi menyimpan musuh. Jalani hidup yang membolehkan kita menjadi baik hati dan bersahabat dengan semua orang. Kita akan terkejut betapa bahagianya kehidupan kita nanti. Kita juga akan terkejut dengan pengaruh yang akan kita peroleh dengan rakan sejawat. Dan ingatlah bahawa sahabat yang paling baik adalah sahabat yang dapat membawa kita mengenal Pencipta dan mengajak kita mendekati-Nya.

Selamat maju jaya buat semua. 

No comments:

Post a Comment