Sunday, December 8, 2013

Ada Apa Di Sebalik Kata

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan lafaz yang mulia sebagai pembuka bicara, moga segala tulisan dan perkongsian diiringi rahmat dan redha-Nya.

Ada Apa Di Sebalik Kata?

Ramai yang bijak dalam berkata-kata. Tidak kurang juga yang hebat dalam menyusun bait-bait kata. 
Namun apa yang ada di sebalik kata?

Di sebalik kata…
Indah jika kena pada situasinya..
Menarik jika kena pada tempatnya..
dan sungguh bermakna jika kena pada waktunya.

Kata-kata itu adakalanya mampu menjadi sumber kekuatan. 
Kata-kata itu juga kadang-kadang boleh menjadi pembunuh secara diam.
Teringat satu lagu yang mana sesuai untuk dikongsikan bersama. 
Liriknya juga berkaitan dengan tajuk yang diberi, berkisarkan tentang kata-kata:

"...Kata ibarat pedang
Yang tajamnya bisa membunuh lawan
Kata-kata yang berhikmah
Menyedarkan kita ...

Kata madah pujangga
Bisa menjadi pedoman manusia
Jagalah bahasa kata kita
Jangan disalah guna..."

(In-Team : Bicara kata)

Maka haruslah sentiasa berwaspada sebelum lidah laju menutur bicara. Gunakanlah akal yang dikurnia sebelum mengucapkan sesuatu perkara. Kerana kata, manusia mendapat kerja. Kerana kata, manusia berjaya. Kerana kata, manusia boleh jatuh cinta. Namun kerana kata juga, manusia boleh hilang percaya. Malah kerana kata, ada pula yang menjadi binasa. 
Masih segar di ingatan sebuah ungkapan yang dipelajari ketika di bangku sekolah dahulu kala: 
“Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.”
Ada juga benarnya peribahasa tersebut.

Jelaslah bahawa kata-kata itu sangat penting untuk dijaga. Jika tersilap kata meskipun sepatah cuma, buruk padahnya. Malah lebih teruk lagi, seseorang boleh jatuh kufur jika tidak berhati-hati dalam berkata-kata. Na’udzubillah.

Zaman sekarang adalah zaman moden dan zaman serba canggih. Segalanya hanya di hujung jari. Begitulah juga dengan kata-kata. Kini kata-kata sudah tidak terhad pada apa yang terlafaz di hujung bibir semata. Tidak juga pada lakaran tarian hujung pena melalui warkah sahaja. Namun masing-masing bebas dengan untaian kata melalui hujung jari yang laju menaip. Pelbagai medium telah tersedia. Facebook, Tweeter, Blog, Friendster, WhatsApp dan macam-macam lagi, yang mungkin tidak akan habis untuk disenaraikan. Itulah hasilnya, kesan dari pembangunan arus pemodenan yang sentiasa pesat berkembang dari semasa ke semasa.
Secara ringkasnya, sebarang bentuk penulisan juga adalah termasuk dalam kategori ‘kata-kata’. Dan ia juga perlu diambil kira dan dijaga. Barangkali ia juga akan membawa impak yang serupa.

Kadangkala terdetik juga di hati kecil, patutkah bibir menutur kata jika tidak seiring dengan apa yang ada di hati? Haruskah bibir mengucapkan kata yang tidak pula dibuktikan melalui perbuatan yang nyata? Hati dan fikiran bertarung mendapatkan jawapan. Debaran dan kerisauan makin terasa apabila teringat ayat-ayat dari al-Quran:

“Wahai orang-orang yang beriman! 
Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? 
(Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah 
jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”     
  [As-Saff, 61:2-3]

Ayat itu saja sudah cukup untuk menggetarkan hati yang kecil ini. 

Kata bukan sebarang kata, kata tersembunyi sejuta makna.
Kata bukan sebarang kata, kata perlu disoroti dengan tindakannya.
Kata bukan sebarang kata, kata ada baik buruknya.
Kata bukan sebarang kata, kata perlu sentiasa dijaga.
Kata bukan sebarang kata, kata melambangkan siapa kita.
Kata bukan sebarang kata, kata boleh mempengaruhi masa depan kita.
Kata bukan sebarang kata, kata menentukan redha atau murka Yang Maha Esa.

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment