Saturday, December 20, 2014

Bagaimana Menjadi SAHABAT


Semasa zaman kanak-kanak, kita punya ramai sahabat.
Semasa zaman belajar, kita juga masih punya ramai sahabat.
Namun ketika kita di alam kerjaya, adakah kita punya sahabat?

Kita sering berfikir yang kita memainkan berbagai-bagai peranan kepada orang yang bekerja di samping kita - rakan sekerja, anggota pasukan, penyumbang, pesaing - tetapi kita sering lupa satu perkara yang diperlukan oleh setiap individu, iaitu SAHABAT.

Penyajak Ralph Waldo Emerson pernah menulis :

"Kemuncak persahabatan itu bukan daripada tangan yang dihulurkan, senyuman yang penuh mesra ataupun keseronokan semasa bersama. Ia adalah inspirasi spiritual yang muncul kepada seseorang apabila beliau dapati ada orang lain yang mempercayainya dan sanggup meletakkan kepercayaan yang tulus ikhlas kepadanya."

Maka, menjalinkan persahabatan dalam kerja berpasukan adalah amat penting. Kenapa? Ada tiga sebab utama:

1. Persahabatan asas kepada pengaruh.
- Presiden Abraham Lincoln berkata, "Sekiranya kita mahu seseorang menyokong perjuangan kita, mula-mula sekali, yakinkan beliau yang kita sahabatnya yang ikhlas."
2. Persahabatan adalah rangka kerja bagi kejayaan.
- Theodore Roosevelt berkata, "Perkara terpenting dalam formula kejayaan adalah mengetahui bagaimana berkawan dengan orang lain."
3. Persahabatan adalah tempat berlindung semasa susah.
- Aristotle berkata, "Sahabat sejati adalah tempat berlindung."

Namun persoalannya sekarang, BAGAIMANA MENJADI SAHABAT???

Ya! Kita sudah pun mempunyai kawan, jadi kita tahu bagaimana menjalin persahabatan. Tetapi perhubungan di tempat kerja selalunya berbeza. Tetapkan matlamat kita untuk MENJADI SAHABAT, bukan mencari sahabat. BAGAIMANA MENJADI SAHABAT? Ikuti langkah-langkah pendekatan berikut.

1. DENGAR!
- "Perkara paling asas yang diperlukan manusia adalah keperluan bagi memahami dan mahu difahami. Cara terbaik bagi memahami orang lain adalah dengan mendengar cakap mereka." (Raphs Nichols). Jika menjadi pendengar yang baik kepada rakan sekerja, mereka akan mahu meluangkan masa bersama kita. mereka mula mencari-cari kita. Penulis Richard Exley pernah berkata: "Sahabat sejati adalah orang yang mendengar dan dapat menyelami peraaan dalam lubuk hati kita. Beliau menyokong kita apabila kita terkial-kial; beliau membetulkan kita dengan lemah lembut apabila kita tersilap; beliau memaafkan kita apabila kita tersilap. Sahabat sejati mendorong kita kepada pertumbuhan peribadi, meregang potensi kita yang paling tinggi. Dan yang paling menakjubkan, beliau meraikan kejayaan kita sama seperti kejayaannya sendiri." 

2. CARI MINAT YANG SERUPA & TIADA KAITAN DENGAN KERJA
- Jika kita lihat setiap individu berotensi menjadi kawan, carilah titik perhubungan itu di dalam dan di luar tempat kerja. Kita pasti dapat menemuinya. Begitulah cara persahabatan dapat dibina. Frank A. Clark berkata, "Bagi menikmati keseronokan bersahabat, saya lebih memerlukan minat yang sama daripada membenci orang yang sama." Cuba cari persamaan ini.

3. DAPAT DIHUBUNGI DI LUAR WAKTU PEJABAT
- Persahabatan yang sebenar bermaksud dapat dihubungi. Persahabatan yang sebenar bukan berpandu pada pusingan jam. Apabila sahabat sedang memerlukan, sahabat sejati tidak berkata, "Sekarang sudah pukul lima. Boleh kamu hubungi saya semula esok?" Yang jelas, kita mahu menghormati hak peribadi orang lain dan kita tidak mahu mengganggu hak peribadinya. Namun, kepimpinan bukan hanya setakat dari pukul 9 hingga pukul 5, persahabatan pun bukan begitu.

4. JANGAN TERLALU SERIUS
- Menurut pemain piano dan pelawak, Victor Borge, "Ketawa adalah jarak terdekat antara dua individu." Jadi, jangan menjadi terlalu serius. Jika kita kekalkan rasa lucu ini (walaupun dalam masa yang sukar, kerja yang payah dan rakan sekerja sedang marah-marah), kita membantu mengubah suasana menjadi positif dan kita dilihat mudah didekati oleh rakan sekerja. Itu juga membantu kita untuk mendapat kawan.

5. BERKATA BENAR WALAUPUN ORANG LAIN TIDAK MELAKUKANNYA
- Tidak semua dapat melakukannya kerana mereka mungkin tidak mahu merosakkan hubungan itu. Namun menurut Henry Ford, "Sahabat yang baik adalah seseorang yang dapat melahirkan bakat terpendam yang tertanam dalam diri kamu." Selalunya bakat terpendam itu diasah melalui dorongan, tetapi kadang-kadang perkara terbaik yang dapat kita lakukan kepada sahabat adalah dengan berkata benar.


Pendekatan ni tak semestinya terhad kepada mereka yang dah berkerjaya saja. Bagi pelajar yang aktif berorganisasi di kampus juga boleh mengamalkannya. Jalinkan persahabatan dengan semua. Ingat! Jangan hanya mencari sahabat, tetapi kita yang perlu MENJADI SAHABAT terlebih dahulu. 

p/s: 
Jadilah sahabat kepada semua orang. Apabila kita mempunyai sahabat, kita tahu ada seseorang yang sentiasa menyokong kita. Seperti peribahasa lama, sekiranya kita mempunyai walaupun seorang musuh, kita akan menemuinya ke mana sahaja kita pergi. Memang tidak berbaloi menyimpan musuh. Jalani hidup yang membolehkan kita menjadi baik hati dan bersahabat dengan semua orang. Kita akan terkejut betapa bahagianya kehidupan kita nanti. Kita juga akan terkejut dengan pengaruh yang akan kita peroleh dengan rakan sejawat. Dan ingatlah bahawa sahabat yang paling baik adalah sahabat yang dapat membawa kita mengenal Pencipta dan mengajak kita mendekati-Nya.

Selamat maju jaya buat semua. 

Monday, November 17, 2014

HEBATNYA HATI MANUSIA


Ingin sekali diri ini tampil untuk berkongsi perihal HATI tatkala ini.
Apa itu HATI? Hebat sangatkah HATI ni?
Tak kenal maka taaruf kan...
Ayuh kita cuba kenali apa yang dimaksudkan dengan HATI sebenarnya?

1. Menurut Kamus Dewan edisi baru, HATI bermaksud organ dalam badan yang berwarna perang kemerah-merahan. Letaknya di dalam perut di bahagian sebelah kanan. Tugasnya pula untuk mengeluarkan hempedu, mengawal kandungan kuda dalam darah, menawarkan racun nitrogen, menghasilkan urea dan menyimpan glikogen.

2. Menurut tafsiran sufi, HATI merupakan organ yang bercahaya dan terletak di antara  roh dan jiwa. 

3. Menurut ahli falsafah, HATI adalah faktor utama melahirkan manusia yang sejati dan ia dinamakan jiwa yang rasional.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, hanyalah mereka yang apabila disenut nama Allah, maka gementarlah HATI mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal."
(Surah Al-Anfal : 2)

Sedar tak sedar, HATI diistilahkan dengan pelbagai perkataan, diterangkan dengan seribu satu cerita dan kisah. Hati digambarkan dengan pelbagai olahan dan bicara serta dimiliki oleh setiap manusia, setiap hamba, setiap makhluk yang bernaung di dunia fana yang penuh ranjau ini.

Malah HATI dikaji oleh ramai para bijaksana dan pakar. 
- Pakar agama membincangkan tentang HATI dari sudut agama. 
- Para intelektual membincangkan HATI dari sudut pembangunan jiwa.
- Pakar sains memperkatakan HATI dari sudut saintifik.
- Pakar kemanusiaan mengkaji HATI dari sudu sikap manusia itu sendiri.

Namun sehinggakini sebuku daging merah yang lembut ini masih menjadi tanda tanya seantero dunia.

Nabi Muhammad SAW di dalam sebuah hadis yang menyebutkan:
"Sesungguhnya di dalam sebuah tubuh ada segumpal darah. Jika segumpal darah tersebut baik maka baiklah seluruh tubuhnya, ada pun jika segumpal darah tersebut rosak maka akan rosaklah seluruh tubuhnya, ketahuilah segumpal darah tersebut adalah HATI."

HATI bagaikan raja, pusatm, nukleus yang menggerakkan tubuh manusia untuk melakkan segala pergerakan, perlakuan, dan tindak balas. 

Jika hati cenderung untuk melakukan kebaikan maka tubuh manusia akan melakukan perkara-perkara kebaikan dan kebijaksanaan.

Jika hati manusia cenderung untuk melakukan kebaikan, maka tubuh manusia akan menuju kepada perkara-perkara kejahatan dan kemungkaran.

Semuanya berpunca daripada HATI. Jika kita mahu memperbaiki diri kita maka perbaikilah HATI kita terlebih dahulu.

Wallahua'lam.

Saturday, May 24, 2014

Syukur Dengan Apa Yang Ada

Hari ini saya ingin kongsikan sesuatu bersama para pembaca sekalian.
Sesuatu yang mungkin kelihatan biasa tetapi adakalanya kita sendiri terlepas pandang tentangnya. 
Sudah menjadi lumrah kehidupan sekiranya seseorang itu selalu mendambakan sesuatu dalam hidupnya.
Namun kadangkala kerana terlalu mengejar sesuatu impian tertentu, kita terlupa nikmat dan rezeki yang diberikan dalam satu bentuk yang lain.

Ayuh kita renungkan perkongsian ini.

Jika tiada rezeki anak,
mungkin diberikan rezeki mertua yang baik.
Maka kita lebih bahagia dari mendapat anak yang liar.
----------------------
Jika tiada rezeki wang ringgit,
mungkin diberikan rezeki kesihatan.
Maka kita lebih bahagia dari kerisauan menjaga harta dunia.
--------------------------
Jika tiada rezeki kereta mewah,
mungkin diberikan rezeki kenderaan yang jarang menimbulkan masalah.
Maka kita lebih bahagia dari membayar kerosakan yang mahal.
-----------------------
Jika tiada rezeki rumah yang besar,
mungkin diberikan rezeki makanan yang tidak pernah putus.
Maka kita lebih bahagia dari si gelandangan.
-----------------
Jika tiada rezeki pasangan yang cantik,
mungkin diberikan rezeki pasangan yang baik dan pandai menguruskan rumahtangga.
Maka kita lebih bahagia kerana hidup berteman dan terjaga segala.
-------------------
Jika tiada rezeki jodoh,
mungkin diberikan rezeki umur ibu bapa yang panjang.
Maka kita lebih bahagia dapat berbakti sepenuhnya pada orang tua.
---------------------
Jika tiada rezeki hari ini, 
mungkin ada rezeki yang lebih baik pada esok hari.
Maka kita lebih bahagia kerana rezeki yang tidak dijangka.
------------
Bersabar. Bersyukur. Berusaha. Berdoa.
Bertawakal.
Hanya Dia, Allah Yang Maha Adil
--------------


Adakalanya kita mungkin mengeluh kerana tidak berjaya memperolehi apa yang kita inginkan. Sesekali renungkan kembali apa yang kita miliki. Bersyukurlah dengan apa yang ada dan apa yang diberikan. Barangkali apa yang kita inginkan itu belum tentu terbaik untuk kita, sebab itu kita tidak memperolehinya. Dan yakinlah bahawa apa yang kita miliki itu adalah yang terbaik untuk kita. Al-Quran sendiri telah menjelaskan hal ini dalam surah al-Baqarah, ayat ke-216.

"... boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."   (QS 2:216)

Maka bersyukurlah.
Sukai, sayangi, cintai, hargai dan nikmatilah apa yang kita miliki.
Kerana belum tentu insan lain memiliki apa yang kita miliki.
Jadilah insan yang sentiasa bersyukur.

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". (Surah Ibrahim:7)


Wallahua'lam.

Saturday, April 26, 2014

Feel Like QUITTING?


Dah lama rasanya tak menulis entry untuk blog ni.
Apa sebabnya yer?
Apa yang menghalang agaknya?
Kesibukankah?
Ketiadaan ideakah?
Kebosanankah?
Atau saja-sajakah?

Ia boleh jadi macam-macam sebenarnya.
Terpulang pada diri masing-masing.
Yer...terpulang pada diri.
Terpulang samada ingin melihatnya sebagai penghalang.
Terpulang samada ingin menjadikannya sebagai alasan.
Terpulang samada ingin memandangnya sebagai ujian an cabaran.
Atau terpulang samada ingin mengambilnya sebagai pendorong semangat.
Semuanya terpulang pada diri sendiri.
Begitulah juga dalam kehidupan kita.
Pelbagai perkara akan muncul.
Pelbagai perkara akan hadir.

Adakalanya kita berasa lemah.
Adakalanya kita ingin mengalah.
Adakalanya kita nyaris tewas.

Apabila ini yang berlaku, yang kita perlukan cuma satu.
KEYAKINAN YANG JITU.
Yer... Betul tu.
Kerana daripada keyakinan inilah yang mampu memberi kita kekuatan untuk terus maju.

Ingin berjaya?
Ingat dan pegang pada kata-kata ni:

"When You Feel Like Quitting, Remember Why You Started"

Sunday, December 22, 2013

Ketidaksengajaan Yang Ditakdirkan

Kadangkala ada perkara yang berlaku kepada kita secara tidak disengajakan.
Atau biasanya kita panggil sebagai 'kebetulan'.
'Kebetulan' tu cuma bahasa kita jer.
Sebenarnya tidak ada yang kebetulan dalam hidup ni.
Melainkan semuanya adalah ketetapan dan ketentuan Allah SWT.
Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya.
Setiap yang terjadi itu pasti ada sesuatu untuk kita ambil iktibar daripadanya.
Kerana hidup ini indah, setiap detik itu adalah istimewa.
Maka setiap pengajaran untuk diri hadir dengan pelbagai cara.
Untuk membolehkan kita belajar dengan lebih berkesan.
Agar menjadi menarik dan tidak membosankan.

Suatu hari semasa menekan-menekan di Youtube, terkeluarlah satu cerita ni.
Tertarik dengan tajuknya, maka memilih untuk menontonnya.
Walaupun belum sempat menonton sepenuhnya, tapi kerana yakin bahawa cerita ini ada nilai tersendiri, teringin untuk berkongsi dengan semua. 
Inilah ketidaksengajaan yang dimaksudkan.
Tidak sengaja menekan Youtube sehingga akhirnya menemui cerita ini.
Tapi ingin ditegaskan lagi sekali bahawa ini bukanlah ketidaksengajaan yang biasa melainkan ketidaksengajaan yang ditakdirkan.
Kerana yakin bahawa ada sesuatu di sebalik cerita ini.
Mudah-mudahan kita mendapat manfaat daripadanya.
Inshaa Allah.



"Pencari Jalan Lurus"


Saturday, December 21, 2013

Penghibur Jalanan 2.0

Apabila disebut tentang "Penghibur Jalanan", apa yang anda fikirkan?
Adakah seseorang individu atau sekumpulan manusia yang berada di jalanan untuk menghiburkan orang lain?
Atau adakah anda teringat pada lagu Penghibur Jalanan nyanyian Amir Jahari?
Atau anda langsung tidak terfikir tentang apa-apa?
Haha...
Masing-masing ada andaian tersendiri dan tafsiran masing-masing kan...
Merujuk kepada tajuk iaitu "Penghibur Jalanan 2.0", ia mestilah mempunyai versi tersendiri kan.
Yer, sememangnya ia... unik dan menarik dengan cara tersendiri...


Diceritakan satu alkisah...
Seorang pelajar ketika sedang berjalan pulang menuju asramanya, sesuatu terjadi tanpa dijangka.
Seperti kebiasaannya, dia hanya mengambil jalan yang sama yang dilaluinya pada hari-hari lain.
Namun setiap kali melalui jalan tersebut, pasti sahaja ada sesuatu yang menjadikan harinya terasa istimewa.
Dan ditakdirkan pada hari yang cerah itu, dia melintas jalan dengan gembiranya walaupun pada hari tersebut keadaan lalu lintas agak sibuk dengan kenderaan yang lalu-lalang. 
Cuaca yang baik. Langit yang cerah. Kepulan awan yang kecil dan comel turut menghiasi dada langit. Keindahan itu menambahkan lagi keasyikannya untuk memandang langit tanpa bosan.
Sebaik sahaja melintas jalan tersebut, langkahnya terhenti seketika.
Agak terkejut barangkali dengan apa yang dilihat di hadapannya.
Sedikit risau dengan nasib yang bakal diterimanya pada hari tersebut.
Dalam debaran, kaki tetap melangkah dan senyuman tetap terukir di bibir.
sesekali ingatan dibawa kepada suatu kisah seorang sahabatnya. 
Dia pernah diceritakan oleh seorang sahabat tentang satu 'pertarungan' yang akhirnya membawa tangisan.
Sahabatnya itu dikatakan termenangis kerana ketakutan akibat bertarung dengan monyet-monyet yang cuba merampas makanan miliknya.
Terkenangkan cerita tersebut membuatkan dirinya geli hati seketika dan pada masa yang sama turut kesian dengan sahabatnya.
Namun itu kisah sahabatnya. Sekarang ini adalah kisahnya pula.
Bagaimana nasibnya akan jadi apabila terpaksa berhadapan dengan makhluk Tuhan yang bernama 'monyet' tanpa disengajakan.
Bukan seekor tapi dua ekor serentak.
Mindanya ligat berfikir mencari jawapan bagi segala persoalan yang muncul di benak fikiran:
Macam mana monyet ni boleh ada kat sini?
Apa yang monyet ni buat kat sini?
Mungkinkah monyet akan serang dirinya nanti?
Adakah ada sebarang makanan padanya yang memungkinkan monyet-monyet tu terkam ke arahnya?
Adakah monyet ni garang?
Pelbagai persoalan meluncur laju tanpa sebarang tol.
Dikuatkan semangat untuk terus melangkah dan dipanjatkan doa agar segalanya berjalan lancar untuknya.
Senyuman dihadiahkan kepada kedua-dua monyet tersebut.
Sebagai tanda bersopan-santun kononnya.
Atau sebagai isyarat "Please be nice to me today."
Atau mungkin juga sebagai tanda memujuk hati supaya keep calm & stay cool.
Setiap langkah diatur dengan sopan dengan senyum yang masih terukir.
Sedikit demi sedikit, jarak semakin dekat.
Langkah semakin menghampiri.
Hati makin terubat malah semakin bertambah keriangannya apabila melihat senyumannya yang berbalas.
Hatinya cukup terhibur dengan fenomena tersebut.
Subhanallah...Indahnya ciptaan Tuhan.
Tidak disangka olehnya bahawa monyet-monyet tersebut membalas senyumannya dengan penuh mesra sekali.
Alangkah bahagianya hatinya.
Senyuman yang diberikan oleh Sang Monyet itu cukup ikhlas dirasakannya.
Benar-benar Penghibur Jalanan yang cukup menghiburkan.
Siapa sangka pada hari tersebut dia akan dipertemukan dengan dua makhluk Tuhan yang comel?
Semuanya takdir.
Kejadian itu membuatkan dirinya berfikir sendirian.
- Betapa bermaknanya nilai sebuah senyuman.
- Kalau kita berikan senyuman, secara semulajadinya kita akan mendapat balsan berupa senyuman juga. What You Give, You Get Back.
- Betapa ikhlasnya senyuman yang dihadiahkan sehinggakan dapat dirasakan olehnya meskipun masing-masing adalah makhluk Tuhan yang berlainan spesies, iaitu antara monyet dan manusia.
- Sedangkan monyet juga tahu untuk memberikan senyuman kepada makhluk lain, kenapa tidak manusia juga memberikan senyuman kepada sesama manusia mahupun makhluk lain.
- Berikanlah senyuman kerana tidak akan rugi orang yang memberi senyuman malah dapat mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain.
Peristiwa itu cukup meninggalkan kesan padanya. 
Seharian harinya ditemani dengan senyuman yang tak lekang di bibir.
Semuanya gara-gara penghibur jalanan yang ditemuinya secara tak sengaja pada hari tersebut.


Beginilah senyuman si penghibur jalanan tersebut.
Cumanya penghibur itu berteman, bukan sendirian.
Manis kan senyumannya.
Geli hati dan terhibur.
Terasa macam nak tersenyum sekali pun ada apabila melihatnya.
Hahahaha
Terima kasih kerana menghadirkan penghibur jalanan tersebut.



Maka begitulah alkisahnya...

Kadangkala kita tidak memerlukan sebab atau alasan untuk senyum.
Kadangkala sesuatu perlu berlaku untuk membuatkan kita tersenyum.
Kadangkala hadirnya sesuatu perkara itu supaya kita belajar sesuatu daripadanya.
Kadangkala hikmah itu datang boleh datang melalui apa-apa sahaja.
Kadangkala kita boleh mendapat banyak perkara apabila kita peka terhadap sekeliling kita.




Hadiah Terbaik

Siapa yang tidak suka menerima hadiah?
Pastinya ramai yang menyukainya kan...
Tapi tahukah anda apakah hadiah terbaik untuk diberikan?
Dan tahukah anda pada siapakah pula hadiah itu sesuai diberikan?
Ketahuilah bahawa...



Hadiah terbaik untuk SAHABAT adalah DOA...
Hadiah terbaik untuk MUSUH adalah KEMAAFAN...
Hadiah terbaik untuk GURU adalah KEJAYAAN...
Hadiah terbaik untuk MURID adalah TAULADAN...
Hadiah terbaik untuk KEHIDUPAN adalah KASIH SAYANG...
Hadiah terbaik untuk KEMATIAN adalah AL-FATIHAH...
Hadiah terbaik untuk IBU BAPA adalah KEBAKTIAN...
Hadiah terbaik untuk ISTERI adalah PENGHARGAAN...
Hadiah terbaik untuk SUAMI adalah KESETIAAN...
Hadiah terbaik untuk ANAK adalah PENDIDIKAN...
Hadiah terbaik untuk DIRI SENDIRI adalah KEJUJURAN...
Hadiah terbaik untuk SEMUA adalah SENYUMAN...
Hadiah terbaik untuk RASULULLAH SAW adalah SELAWAT...
Hadiah terbaik untuk ALLAH SWT adalah KETAQWAAN...



Itulah hadiah terbaik...
Jadilah seorang insan yang sentiasa memberi berbanding menjadi seseorang yang hanya berharap untuk menerima.
Sesungguhnya erti hidup itu pada memberi.
Maka memberilah tanpa mengharapkan sebarang pulangan, wahai diri.